KOTA KINABALU, 14 Ogos 2022 : Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengumumkan data sebenar jumlah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak melanjutkan pelajaran dalam tempoh terdekat.
Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin berkata, ketika ini kementeriannya sedang mengumpulkan rekod dan data baharu mengenai hala tuju pelajar berkenaan selepas tamat menduduki peperiksaan tersebut.
KPM akan memperincikan data-data (pelajar), kita akan kongsikan data ini dalam masa terdekat dan kita akan terangkan (ke mana pelajar) berdasarkan data yang kita dapat, katanya kepada pemberita selepas program Bersama Semerakkan Transformasi Pendidikan -Guru Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.
Baru-baru ini, media melaporkan kira-kira 390,000 atau 72.1% lepasan SPM membuat keputusan untuk tidak menyambung pelajaran mereka. Mengulas angka yang dilaporkan itu, Radzi berkata, kajian itu dibuat tidak menyeluruh dan merekodkan "age cohort" atau tidak mempunyai situasi sama misalnya generasi lepas yang kini berusia 70 hingga 80 tahun mempunyai sebab berbeza tidak melanjutkan pelajaran berbanding generasi muda masa kini.
Sebab itu kita kena lihat secara lebih mendalam. Saya tidak mahu mengulas mengenai 72%, biar kita jelaskan hal itu berdasarkan data yang kita dapat mengenai pelajar yang menamatkan SPM, katanya.
No comments:
Post a Comment