Saturday, May 27, 2023

HAMPIR 50 PERATUS PELAJAR LEPASAN SPM TIDAK SAMBUNG PENGAJIAN


Kuala Lumpur - Seramai 180, 680 atau 48.7 peratus pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi pada tahun 2021. Menteri pendidikan, Fadhila Sidek berkata, angka tersebut menunjukkan trend peningkatan berbanding seramai 115,939 pelajar atau 35.16 peratus yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, statistik tersebut diperolehi menerusi sistem eProfil Kerjaya Murid (ePKM) yang dibangunkan KPM bagi mengesan pelajar lepasan SPM untuk mengumpul status mereka selepas tamat Tingkatan 5.

"Berdasarkan sistem ePKM, statistik menunjukkan pada tahun 2020, sebanyak 35.16 peratus (115,939) dilaporkan tidak melanjutkan pelajaran keperingkat yang lebih tinggi."

"Pada tahun 2021 pula, data statistik sistem ePKM menunjukkan sebanyak 48.74 peratus (180, 680) murid lepasan SPM tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi," katanya dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng mengenai statistik pelajar lepasan SPM yang tidak mahu menyambung pengajian dari 2020 hingga 2022 dan usaha KPM bagi menangani isu tersebut.

Bagi membendung peningkatan trend itu, Fadhila berkata KPM melaksanakan program pembangunan diri murid dan pendidikan kerjaya di sekolah bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan belajar, mengembangkan potensi, kecenderungan, sikap, minat dan hala tuju kerjaya.

Katanya, program itu penting agar murid dilengkapi dengan pengetahuan, kemahiran, pengalaman serta jati diri yang tinggi. "KPM sentiasa komited meningkatkan motivasi murid melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi demi pembangunan dan pertumbuhan mampan negara."

"Pelbagai langkah dan insiatif turut dilakukan bagi menggalakkan murid meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi. Ini termasuk penganjuran Program SUKSES Karnival Murid dengan kerjasama universiti awam dan swasta serta agensi lain yang menawarkan biasiswa dan pinjaman pengajian," katanya.

"Sebagai contoh, KPM melaksanakan mobilisasi sumber dengan kementerian lain seperti Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan. Ia termasuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Petroleum Nasional Berhad (PETRONAS), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Financial Industry Collective Outreach (FINCO) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)," katanya.

Pada Ogos tahun lalu, KPM mengakui kadar gaji yang rendah dan tidak banyak berubah setelah sekian lama menjadi antara cabaran dalam memastikan pelajar terus menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Menteri Kanan Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Radzi JIdin berkata, kadar gaji yang ditawarkan tidak banyak berubah sejak dahulu lagi dan pada masa yang sama kos sara hidup terus meningkat.

Malah pada 31 Julai lalu, media melaporkan satu kaji selidik oelh Jabatan Perangkaan mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan SPM tidak mahu menyambung pelajaran. Walaupun data tersebut adalah dari 2019, tetapi trend tersebut dipercayai berterusan pada 2020 dan 2021.

Mengikut data kajian pada 2019, membabitkan 560,000 calon SPM yang mengambil peperiksaan namun selepas keputusan diumumkan, hanya kira-kira 170,000 memilik menyambung pengajian manakala bakinya 390,000 memasuki pasaran kerja.

Tiga faktor utama mereka berusia 17 hingga 18 tahun tidak menyambung pelajaran ialah banyak peluang pekerjaan menerusi platform gig, terpengaruh mengjadi insta famous di media sosial dan beranggapan belajar tinggi bukan jaminan mendapat pekerjaan yang lebih baik.

GETARAN, 24 Mei 2023


No comments:

Post a Comment

MASIH ADA MAHU TERUSKAN PENGAJIAN SELEPAS GAGAL SPM

  P ETALING JAYA - Gagal memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 tidak mematahkan semangat sebilangan anak muda apabila ada antara me...