Tuesday, September 13, 2022

KPM AKAN UMUM DATA LEPASAN SPM TAK SAMBUNG BELAJAR

 

KOTA KINABALU, 14 Ogos 2022 : Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengumumkan data sebenar jumlah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak melanjutkan pelajaran dalam tempoh terdekat.

Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin berkata, ketika ini kementeriannya sedang mengumpulkan rekod dan data baharu mengenai hala tuju pelajar berkenaan selepas tamat menduduki peperiksaan tersebut.

KPM akan memperincikan data-data (pelajar), kita akan kongsikan data ini dalam masa terdekat dan kita akan terangkan (ke mana pelajar) berdasarkan data yang kita dapat, katanya kepada pemberita selepas program Bersama Semerakkan Transformasi Pendidikan -Guru Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

Baru-baru ini, media melaporkan kira-kira 390,000 atau 72.1% lepasan SPM membuat keputusan untuk tidak menyambung pelajaran mereka. Mengulas angka yang dilaporkan itu, Radzi berkata, kajian itu dibuat tidak menyeluruh dan merekodkan "age cohort" atau tidak mempunyai situasi sama misalnya generasi lepas yang kini berusia 70 hingga 80 tahun mempunyai sebab berbeza tidak melanjutkan pelajaran berbanding generasi muda masa kini.

Sebab itu kita kena lihat secara lebih mendalam. Saya tidak mahu mengulas mengenai 72%, biar kita jelaskan hal itu berdasarkan data yang kita dapat mengenai pelajar yang menamatkan SPM, katanya. 

72.1% LEPASAN SPM TIDAK SAMBUNG BELAJAR

 

ARAU : Kaji selidik Jabatan Perangkaan mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pelajaran. Walaupun data tersebut adalah dari tahun 2019 tetapi trend tersebut dipercayai berterusan pada 2020 dan 2021. Mengikut data kajian tahun 2019, membabitkan 560,000 calon SPM yang mengambil peperiksaan namun selepas keputusan, hanya kira-kira 170,000 memilih menyambung pengajian manakala bakinya entah kemana.

MINAT REMAJA KE IPTA SEMAKIN PUDAR

 

Isu ratusan ribu bekas pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi bukan masalah kecil. Ia akan mempunyai kesan jangka panjang yang buruk kepada masa depan negara.

Berdasarkan angka yang dikeluarkan, kira-kira 130,000 pelajar ditawarkan tempat di universiti awam daripada 400,000 pelajar yang menduduki peperiksaan SPM. Bagaimanapun tidak diketahui berapa ramai yang menerima tawaran berkenaan. Satu lagi persoalan penting, apa yang terjadi kepada baki pelajar SPM?

Seperti biasa di Malaysia, satu jawatankuasa akan diwujudkan bagi mengkaji masalah itu dan dibayar gaji tambahan untuk menghasilkan hasil siasatan tanpa cadangan penyelesaian. Ketika ini negara sudah berdepan krisis walaupun tidak dihebahkan. Ramai lepasan SPM enggan mengambil bidang teknikal dan teknologi. Di peringkat SPM sendiri ramai pelajar sejak awal menggugurkan mata pelajaran Matematik Tambahan.

Ini 'menyingkirkan' mereka secara automatik daripada melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi dan kejuruteraan. Berdasarkan apa yang diperkatakan di peringkat pengajian tinggi, jumlah pelajar yang mendaftar untuk peringkat asasi kurang daripada tempat yang disediakan. Ini sangat membimbangkan kerana pengajian peringkat asasi menjadi 'pembekal' pelajar untuk kursus di peringkat ijazah.

Ketandusan pelajar berkualiti peringkat asasi akan memaksa mereka yang lebih rendah gred dibenarkan melanjutkan pengajian di peringkat ijazah. Apa akan berlaku kepada kualiti graduan kelak?

Masalah keengganan meneruskan pelajaran diburukkan dengan aplikasi internet. Ramai anak muda memilih menjadi penghantar makanan dan barangan atau p-hailing berbanding melanjutkan pelajaran. Mereka menjadi bos sendiri. Tak perlu melapor diri kepada ketua atau bekerja mengikut peraturan dan masa syarikat. Hidupkan aplikasi dan nantikan tempahan. Mereka yang rajin mampu meraih sehingga RM 4,000.00 sebulan. Buat apa ke universiti.

Selepas keluar universiti, jawatan dengan gaji lumayan hanya impian. Kecuali mendapat tempat di syarikat antarabangsa atau gergasi tempatan. Kebanyakan graduan akan mendapat gaji lebih rendah berbanding penghantar makanan. Malaysia kini dalam middle-income trap yang menyaksikan gaji tersekat.

Pelajaran di universiti bukan sahaja tidak menjanjikan jawatan dan gaji lumayan. Pelajar terpaksa tanggung pinjaman pelajaran yang perlu dibayar selain kos kehidupan yang tinggi. Kalau buka p-hailing, ramai anak muda menjadi pencipta kandungan yang kononnya menjanjikan ratusan ribu followers dan pendapatan lumayan. Satu lagi sebab untuk tidak melanjutkan pelajaran.

Cadangan merendahkan umur p-hailing kepada 18 tahun berbanding 21 tahun akan memburukkan krisis tidak mahu melanjutkan pelajaran. Ia menjadi dasar yang akan membunuh minat anak muda untuk terus belajar. Dengan hanya lesen dan motosikal sudah cukup.

Bagaimana sebuah negara yang kekurangan ahli teknologi, pakar teknikal dan sains? Universiti akan menghadapi masalah memenuhi semua fakulti sains, teknologi dan kejuruteraan. Sektor infrastruktur dan sains kekurangan pakar. Inovasi dan penciptaan mati tanpa nisan. Itu Malaysia dua dekad dari sekarang. Realiti yang menakutkan. Lebih menyedihkan, negara tidak mampu melihat potensi sebenar anak-anak muda ini.

Sumber dari Mohamad Azlan Jaafar, Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn Bhd, Kosmo, 5 September 2022

Monday, September 12, 2022

PROGRAM APA YANG LEBIH BAIK

 

Hanya ada 2 faktor untuk memilih program apa yang terbaik antara Asasi / Matrikulasi / STPM / Diploma atau Sijil.

A. CITA-CITA PELAJAR

Kalau jawatan cita-cita kerjaya pelajar memerlukan kelayakan ijazah sarjana muda, maka laluan asasi / matrikulasi lebih baik, lebih cepat dan lebih jimat berbanding laluan diploma. Begitu juga kalau kelayakan yang diperlukan hanya setakat diploma maka diploma lah yang terbaik untuk anda. Tidak perlu nak fikir masuk asasi / matrikulasi. Apa yang penting, pelajar kena ada cita-cita untuk memudahkan membuat pilihan yang terbaik.

B. PENCAPAIAN PELAJAR

Sebaik mana pun orang yang mengatakan program asasi IPTA, kalau pelajar tidak memperolehi sekurang-kurangnya 5 gred A di dalam mata pelajaran yang menjadi syarat dan pengiraan merit maka ia tidak lagi menjadi yang terbaik untuk pelajar. Sebab kalau layak memohon pun mungkin markah meritnya rendah. Pelajar mungkin terpaksa memilih laluan diploma yang sesuai dengan pencapaian SPMnya.


MASIH ADA MAHU TERUSKAN PENGAJIAN SELEPAS GAGAL SPM

  P ETALING JAYA - Gagal memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 tidak mematahkan semangat sebilangan anak muda apabila ada antara me...