Isu ratusan ribu bekas pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi bukan masalah kecil. Ia akan mempunyai kesan jangka panjang yang buruk kepada masa depan negara.
Berdasarkan angka yang dikeluarkan, kira-kira 130,000 pelajar ditawarkan tempat di universiti awam daripada 400,000 pelajar yang menduduki peperiksaan SPM. Bagaimanapun tidak diketahui berapa ramai yang menerima tawaran berkenaan. Satu lagi persoalan penting, apa yang terjadi kepada baki pelajar SPM?
Seperti biasa di Malaysia, satu jawatankuasa akan diwujudkan bagi mengkaji masalah itu dan dibayar gaji tambahan untuk menghasilkan hasil siasatan tanpa cadangan penyelesaian. Ketika ini negara sudah berdepan krisis walaupun tidak dihebahkan. Ramai lepasan SPM enggan mengambil bidang teknikal dan teknologi. Di peringkat SPM sendiri ramai pelajar sejak awal menggugurkan mata pelajaran Matematik Tambahan.
Ini 'menyingkirkan' mereka secara automatik daripada melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi dan kejuruteraan. Berdasarkan apa yang diperkatakan di peringkat pengajian tinggi, jumlah pelajar yang mendaftar untuk peringkat asasi kurang daripada tempat yang disediakan. Ini sangat membimbangkan kerana pengajian peringkat asasi menjadi 'pembekal' pelajar untuk kursus di peringkat ijazah.
Ketandusan pelajar berkualiti peringkat asasi akan memaksa mereka yang lebih rendah gred dibenarkan melanjutkan pengajian di peringkat ijazah. Apa akan berlaku kepada kualiti graduan kelak?
Masalah keengganan meneruskan pelajaran diburukkan dengan aplikasi internet. Ramai anak muda memilih menjadi penghantar makanan dan barangan atau p-hailing berbanding melanjutkan pelajaran. Mereka menjadi bos sendiri. Tak perlu melapor diri kepada ketua atau bekerja mengikut peraturan dan masa syarikat. Hidupkan aplikasi dan nantikan tempahan. Mereka yang rajin mampu meraih sehingga RM 4,000.00 sebulan. Buat apa ke universiti.
Selepas keluar universiti, jawatan dengan gaji lumayan hanya impian. Kecuali mendapat tempat di syarikat antarabangsa atau gergasi tempatan. Kebanyakan graduan akan mendapat gaji lebih rendah berbanding penghantar makanan. Malaysia kini dalam middle-income trap yang menyaksikan gaji tersekat.
Pelajaran di universiti bukan sahaja tidak menjanjikan jawatan dan gaji lumayan. Pelajar terpaksa tanggung pinjaman pelajaran yang perlu dibayar selain kos kehidupan yang tinggi. Kalau buka p-hailing, ramai anak muda menjadi pencipta kandungan yang kononnya menjanjikan ratusan ribu followers dan pendapatan lumayan. Satu lagi sebab untuk tidak melanjutkan pelajaran.
Cadangan merendahkan umur p-hailing kepada 18 tahun berbanding 21 tahun akan memburukkan krisis tidak mahu melanjutkan pelajaran. Ia menjadi dasar yang akan membunuh minat anak muda untuk terus belajar. Dengan hanya lesen dan motosikal sudah cukup.
Bagaimana sebuah negara yang kekurangan ahli teknologi, pakar teknikal dan sains? Universiti akan menghadapi masalah memenuhi semua fakulti sains, teknologi dan kejuruteraan. Sektor infrastruktur dan sains kekurangan pakar. Inovasi dan penciptaan mati tanpa nisan. Itu Malaysia dua dekad dari sekarang. Realiti yang menakutkan. Lebih menyedihkan, negara tidak mampu melihat potensi sebenar anak-anak muda ini.
Sumber dari Mohamad Azlan Jaafar, Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn Bhd, Kosmo, 5 September 2022
No comments:
Post a Comment